mardi 5 juin 2012

~Setiap saat adalah peluang~

Bismillahirahmanirahim.


Sedar tak sedar, kita dah berada pada hari kelima dalam bulan Jun bersamaan 15 Rejab 1433 hijrah. Cepat sungguh masa berlalu kan? Cuba kita hitung umur kita pula. Mungkin ada yang baru belasan tahun, mungkin ada juga yang baru ingin mencecah puluhan tahun, dan mungkin ada juga yang telah pun masuk ke alam puluhan. Selepas umur dihitung, cuba kita hitung semula. Berapa banyak masa yang telah kita habiskan. Dan dengan cara apa kita habiskan masa itu? Ya Allah, tak terhitung. Kan? Tak tergambar betapa banyaknya masa yang telah kita gunakan. Guna untuk itu, guna untuk ini.

"Demi Masa, sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Melainkan yang beriman dan yang beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. " (Surah Al Asr)

baiklah. "Setiap saat adalah peluang". Kata kata yang tiba-tiba saja tertulis bila terfikir. Betul lah kan? Setiap saat yang diberi untuk kita, sebenarnya, ia adalah peluang. Peluang untuk apa? Subjektif jawapan nya. Peluang untuk melakukan itu dan ini, tetapi apakah yang dilakukan terletak dan terpulang kepada individu itu sendiri. Kita semua dah diberi akal fikiran. Kita tahu menilai baik dan buruk. Tapi, kenapa masih ada sesuatu yang buruk itu dilakukan?

Ya Allah. Diri aku juga. Aku juga tidak terkecuali dari melakukan sesuatu yang buruk itu.
Kamu, anda, ataupun sesiapa saja, ya benar. Tiada manusia yang bersifat sempurna.

Tetapi kalian, fikirkan semula. Kenapa kita masih hidup sampai hari ini? Kerana Allah, mahu kita kembali padaNya. Mahu kita untuk dekat denganNya. Dan DIA memberikan kita setiap saat itu. Setiap peluang itu.

Ya. Mustahil untuk manusia bersifat sempurna, tetapi tidak mustahil untuk mencuba. Dan berubah. Renungkan kembali, atas sebab apa kita dihidupkan. Kenapa kita diberi nyawa?
Hanya satu sebabnya. Sebagai hamba Allah. Dan mencari seberapa banyak "tiket" untuk menetap di penempatan yang kekal selamanya. Sama ada syurga, ataupun neraka.

Terasa teruk dan kecil diri. Bila terfikirkan soal saat-saat yang dah digunakan tanpa hala. Tanpa tujuan. Malah, terguna pula dengan dosa. Ya Allah. tak terhitung dosaku, tak terkira berat yang ku pikul. tentu sekali, jika kita boleh undurkan masa, ternyata sesuatu yang buruk itu kita ingin buang, dan gantikan dengan sesuatu yang baik. kan? Tapi, realiti tidak begitu. Inilah hidup. Inilah kehidupan. Setiap saat yang berlalu tidak akan boleh kita gantikan dengan apa-apa. Hanya sekadar penyesalan untuk sesuatu yang kita sudah lakukan, dan hanya doa taubat serta keampunan dariNya yang kita harapkan.

Tengok semula perjalanan hidup. Naik turun hidup. Setiap kesenangan mahupun kesedihan, kedua duanya adalah dugaan dariNya. Ya Benar. Bila kita berada di puncak kesenangan, cenderung untuk kita mula berasa bongkak, dan riak. teruja. Dan akhirnya kalah dengan nafsu membangga. lalu lupalah kita pada DIA. Kita lupa, kesenangan itu datang dari siapa. Kita lupa kejayaan itu datang dariNya. Bila mana kita dilanda kesedihan dan kejatuhan, hati kita sibuk menyalahkan itu, salahkan ini. Kita lupa, dari mana sedih itu datang. Dan atas sebab apa jatuh itu menimpa kita.

Ternyata, kita pernah terlupa semua itu, bukan?

Sekali lagi, "Setiap saat adalah peluang"

Fikirkan tentang ini. Peluang ini. Masih terbuka luas peluang untuk kita cuba mengubah keadaan. Setiap sesuatu perlukan usaha. Ya. Usaha. Kemudian doa. Dan tawakal. Sesuatu perubahan itu tidak akan terjadi jika kita hanya berdoa dan menunggu. Perlu ada langkah yang mencuba. Mencuba untuk bergerak ke arah sesuatu yang baru, dan sesuatu yang lebih baik.
Jangan hilang keyakinan dalam hidup. jangan hilang keyakinan terhadap takdir dan ketentuan Allah. Ambil setiap peluang itu. Ambil. Dan jangan hanya terduduk, mengalah pada manusia. Jangan hanya terdiam, takut pada yang tak sepatutnya. Dan jangan hanya bisu, tunduk pada cinta.




Mungkin, cukuplah sampai disini. Tak perlu rasanya nak berkata panjang. Bercerita banyak-banyak. Sekadar ingin meluahkan sesuatu, yang ingin dijadikan penegesan kepada semua. Kita semua bersaudara. Dan sudah tentu, hanya yang terbaik yang di inginkan untuk semua.

InsyaAllah, kalian mampu lalui. dan mampu mengambil peluang itu untuk mengubah sesuatu.
Saya sentiasa doakan, walau siapa pun kalian, walau di mana pun lokasi, sama-sama kita mengambil peluang itu.




Lihat diri, muhasabah diri. Sejauh mana kita dah pergi, dan kemana arah tuju kita nanti.

Wallahualam.



" Allah tahu tentang dirimu lebih daripada engkau sendiri. Maka Allah telah menetapkan untukmu lebih baik daripada apa yang engkau kehendaki..."

Aucun commentaire:

Design and idea created by Norfayzane the owner of the ilhamhatifayzanerosesz.blogspot.com